09 May 2009

Penyamun dan Perompak Yang Jahat

Salah seorang pelajar saya, lelaki dan berusia 15 tahun diugut dan dirompak di kawasan berhampiran Sogo dan Bank Negara. Telefon, duit dan thumb drive-nya diambil secara paksa. Malah, pada badannya diacukan pisau di bahagian hadapan dan belakang badan. Sungguh tidak patut kerana pada saya, ia akan menimbulkan trauma kepada mangsa. Malah, mangsa pula hanya seorang remaja (kalau ikut saiz badan pelajar ini, dia berbadan kecil dan tidak nampak seperti 15 tahun pun usianya...). Bagaimana boleh merompak budak kecil?

Cerita pelajar saya, orang sangat ramai, tetapi tidak boleh menjerit kerana diacukan pisau ke badan. Aduhai! Sama saja kes ini dengan kes beberapa tahun lepas di mana seorang sahabat saya juga telah disamun (saya rasa perkataan ini lebih tepat) di kawasan yang sama. Sudah patut ada polis yang meronda di kawasan antara Sogo dan Bank Negara ini.

Tekniknya mudah. Penyamun moden ini berkumpulan. Nampak seorang mangsa, masing-masing akan berkumpul di sekeliling kita dan menghalang laluan kita. Kemudian, terus dihunus pisau dan diarahkan kita mengeluarkan semua barang berharga. Malah, kalau keluarkan duit di ATM di Sogo tu, berhati-hatilah sebab pada pendapat saya, penyamun dan perompak lebih ramai dari orang yang hendak membeli-belah. Kita saja yang tak kenal kerana penyamun dan perompak sekarang pun sudah pandai pakai kot.

Sungguh tidak berhemah! Sungguh tidak ada adab dan sopan. Sungguh tidak ada sivik. Rugi saja jadi rakyat Malaysia, tapi suka mengambil hak orang lain tanpa izin. Kerja malas, hanya tahu menunjuk hebat dengan merampas hak orang lain. Sungguh banyak benar dosa orang serupa ini. Malah, pada saya, untuk satu kes ragut di Kelantan yang melibatkan seorang wanita hamil yang maut dan di dalam dompetnya cuma ada RM2, lagilah menyedihkan dan menyebalkan. Kenapa ada sikap yang teruk ini di dalam diri rakyat Malaysia?

Saya rasa, peragut ini boleh dilabel sebagai pembunuh kerana memang para peragut dan penyamun ni bukannya ambil kira tentang nyawa orang lain pun. Mereka ni jenis mementingkan nyawa sendiri saja. Macamlah nak hidup lama dan menongkat dunia, tak sedar yang kehidupan dunia ini hanya sementara. Jadi, pada saya, untuk hukum peragut, penyamun dan perompak ni, sepatutnya dihukum di bawah Akta Membunuh Dengan Sengaja. Kalau setakat denda sahaja, itu yang jadi penyebab kes-kes sebegini berleluasa.

Tak ada kesedaran beragama (kalau bawa title penganut agama Islam, lagilah malu...malu pada Allah, malu pada Rasulullah, malu pada para ulama dan malu pada orang bukan Islam...), tak ada kesedaran bermasyarakat, tak ada rasa perikemanusiaan. Kasihan, nampaknya haiwan pun lebih tinggi taraf nak dibandingkan dengan orang serupa ini sebab orang serupa ini seolah-olah sudah tidak boleh berfikir tentang baik buruk tindakan mereka. Bukankah beza antara manusia dan haiwan itu adalah kerana manusia boleh berfikir tetapi haiwan tidak boleh berfikir?

Wahai penyamun dan perompak sekelian, duit yang kamu semua ambil tu tak diberkati Allah! Rugi dunia, rugi akhirat. Cuba kalau emak, isteri, adik dan kakak atau anak-anak kamu yang kena ragut dan mati, barulah nak sedarkan diri agaknya.

No comments: