03 May 2009

Typical Malaysian?

"You're not a typical Malaysian..."

kata seorang arkitek kepada saya di mana saya mengajar anaknya. Pernah bekerja bersama saya untuk suatu tapak kolej beberapa tahun lepas, katanya saya bukan 'typical Malaysian' kerana sering memanjat 'elevated water tank' dari jenis 'mushroom', walaupun pada dasarnya, tidak ramai yang akan berbuat demikian, walaupun oleh seorang jurutera lelaki. Dia sendiri tahu, 'elevated water tank' jenis 'mushroom' setinggi bangunan 5 tingkat dengan tangga jenis 'cat ladder' itu bukan mudah untuk dipanjat. Tangganya kadangkala basah apabila terdapat percikan air, licin dan merbahaya.


Ya, saya memanjatnya, kerana mahu memastikan kualiti beberapa buah tangki air tersebut. Kuantiti air yang disimpan bukannya sedikit, terkadang mencapai sehingga 200,000 gallon, takkanlah saya tidak mahu memeriksa kualiti kerja terutama dari segi struktur tangki air tersebut. Malah, pernah terserempak dengan kerja yang tidak ada kualiti pun. Lalu, saya meminta kontraktor segera membaikinya. Perlu panjat pula beberapa kali bagi sesebuah tangki air bagi memastikan kerosakan tersebut dibaiki dengan benar-benar sempurna. Semuanya untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.

Malah, tudung yang menyaluti kepala saya adalah tudung bidang 60' tanpa fesyen (labuh terus ke bawah dan dipin di tiga bahagian supaya tidak sedikit pun terselak) dengan baju yang agak labuh dan seluar yang sedikit longgar. Pakaian yang saya rasa sesuai untuk aktiviti panjat-memanjat, sesuai dengan tugas saya. Tujuan saya hanya satu, tugas yang diamanahkan akan saya galas sebaiknya kerana bukan hanya rakyat, pengguna atau boss yang akan bertanya, malah saya sentiasa menyematkan bahawa di hadapan Allah nanti juga saya akan ditanya tentang amanah yang saya galas dan apa tindakan yang telah saya ambil untuk melunaskan amanah tersebut dengan sebaiknya.

Bukan untuk pujian. Bukan untuk anugerah. Bukan untuk dibanggakan.

Saya hanya menggalas amanah di atas pundak saya sebagai seorang khalifah di muka bumi milik Allah yang Maha Besar dan Maha Berkuasa ini.

"Typical Malaysian" itu pula ditimbulkan kerana dia mahu bercerita tentang saya kepada anak-anaknya, iaitu pelajar-pelajar saya.

Katanya kepada anak-anaknya, " "Cikgu ini bukan 'typical Malaysian'. Dia boleh menghabiskan cuti 3 harinya dengan mengajar sahaja tanpa menggunakan masa cutinya untuk berehat sedangkan kamu berdua ni, nak di'pampered' saja tanpa pernah berfikir untuk berusaha sendiri dan berdikari. Tak ada inisiatif untuk berubah, hanya menjadi pak turut dan melihat apa yang orang lain buat dan ikut tanpa berfikir baik-buruk tindakan orang lain..."

Mendengar kata-katanya, saya mula berfikir : sungguh benar majoriti rakyat Malaysia begitukah perangainya? Bila agaknya 'typical Malaysian' akan berubah dan meningkatkan taraf berfikir? Fikirlah, dan berubahlah sekarang. Jangan jadi 'typical Malaysian'...

No comments: