10 May 2009

Sahabat Lama Zaman Remaja

Dua minggu lepas, saya menaip nama sahabat saya ini di internet di ruangan 'Search' (habit saya...nama saya sendiri saya taip...dan saya jumpa bermacam-macam 'kembar nama' saya di internet). Sungguh benar, selepas 14 tahun tiba-tiba saya mengingati sahabat ini. Entah kenapa, namanya seolah-olah meniti di minda saya.

Beberapa hari yang lalu, saya membeli majalah Nur bulan Mei keluaran Karangkraf (saya tidak suka melanggan majalah kerana tidak tahu pada bulan dan hari mana saya ada luang masa untuk membaca - jadi, bila ada lapang dan dapat singgah di mana-mana gerai majalah, barulah saya akan membeli majalah yang saya mahu baca - pada saya, isi di dalam majalah dan buku ada bezanya. Saya gemar membaca buku, namun agak kurang di dalam pembacaan majalah..).


Di ruangan Personaliti Guru, saya cukup terkejut melihat paparan di majalah tersebut.

Wajahnya tidak banyak berubah. Hampir sama seperti dahulu, pun menunjukkan kematangan usia yang semakin meningkat.


Dahulu, sahabat ini seorang Ketua Murid di sekolah saya yang kesemuanya perempuan. Saya mula rapat dengannya apabila dia mengajak saya ke rumahnya pada cuti hujung minggu. Saya tidak sangka bahawa rupanya titik mula saya mengajar sudah bermula sewaktu saya berada di zaman persekolahan lagi. Sungguh pasti lorong pilihan Allah untuk saya ini memang lorong yang benar-benar tepat. Alhamdulillah.

Saya diajak ke rumahnya untuk mengulangkaji Matematik Tambahan / Additional Mathematics (kali kedua saya bermalam di rumah orang - kali pertama sewaktu saya tidak dapat membeli tiket untuk pulang menyambut Aidil Adha bersama emak saya semasa saya di Tingkatan Tiga - sahabat yang saya menginap di rumahnya untuk cuti Aidil Adha ini sudah meninggal dunia - AlFatihah...).

Baru saya teringat, usai mengajar, emaknya telah memberikan RM 50 kepada saya (sudah tentu waktu itu nilainya amat tinggi kepada saya - bersama 3 pasang stokin baru - kasihan benar agaknya dia melihat stokin saya yang sudah banyak lubang, pastinya...), dan kemudian hubungan saya dan sahabat ini menjadi agak rapat (ya...saya ada rasa rendah diri yang sangat tinggi di zaman kecil, remaja dan semasa di universiti dahulu - sudah tentu kerana kehidupan yang saya lalui semasa kecil hanyalah seadanya sahaja - jauh benar berbeza seperti sekarang... - pun waktu itu, walau tidak mewah, saya amat mensyukurinya...). Alhamdulillah.

Dan, inilah kehidupan sahabat saya ini sekarang. Alhamdulillah. Jika ada kelapangan dan masa, saya teringin bertemu dengannya. Melihat maklumat dirinya, dia sudah ada 2 anak, dan saya, seumur hayat ini, masih 'menyimpan hati' tanpa dapat diambil oleh sesiapa pun. Masih jua, Alhamdulillah. Jika ada izinNya, adalah. Jika tiada pun, Alhamdulillah.

No comments: