12 April 2013

Secebis Kisah Hamba Allah

Hari ini, saya berada di dalam lif bersama dua orang wanita, penjawat awam, dan saya kira pastinya antara ibu-ibu yang perlu bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

++ "Dia bagitau...nak kena beli baju sukan lagi. Yang lengan panjang 18 ringgit, lengan pendek 12 ringgit...ada dua orang pulak tu..."

--"Bagitau kat cikgu dia...mana le ada duit dah...asyik beli baju sukan je..."

++"Tulah...awal tahun hari tu baru je beli...dah bagitau cikgu dia, cikgu dia cakap...eh, bukan ke penjawat awam akan dapat kenaikan nanti...tentu takde masalah nak membayar..."

Hanya itu yang saya dapat dengar, sebelum mereka berdua keluar terlebih dulu di paras yang berlainan dari pejabat saya. Tapi, perbualan itu mengusik minda saya sehingga kini.

Ya, terkadang 'kenaikan gaji penjawat awam' terlalu diambilkira dalam menaikkan harga barang - segala barang, tidak hanya tertakluk kepada barang di dalam kisah di atas. Walhal, bagi majoriti penjawat awam yang kebanyakannya bukan di kalangan kumpulan pengurusan dan profesional, maka kenaikan gaji itu hanyalah sekelumit kecil yang tidak memberi apa-apa impak kepada kekukuhan kewangan keluarga.

Ya, bersyukur, itu memang sudah kewajipan dan tanggungjawab kepada Allah. Tetapi, jika 'kenaikan gaji' yang sedikit dijadikan punca kepada 'kenaikan harga barang yang banyak', di manakah rasionalnya tindakan tersebut. Kasihan kepada sesiapa yang berpendapatan rendah. Mereka pun mahu makan nasi juga. Mereka juga manusia. Mereka juga punya perasaan.

Hanya Allah yang Maha Memahami, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Kita, hamba yang lemah, sifar, tidak memiliki apa-apa. Hanya Allah yang Maha Kuasa.

Semoga ada redha Allah, insyaAllah.

No comments: