02 August 2006

Rencana - Qana Berdarah Lagi


Oleh Maszlee Malik
(Utusan Malaysia - 1 Ogos 2006)

PADA tahun 1996, bandar Qana yang terletak di selatan Lebanon, 16 kilometer dari bandar Tyre telah menempatkan dirinya ke dalam peta dunia. Bukanlah sebelum tahun tersebut ia tidak wujud, tetapi kewujudannya hanya dirasakan selepas tahun tersebut.

Mengapa? Kerana bandar yang serba daif itu telah dibedil oleh tentera rejim Zionis. Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa yang teramai dalam keganasan tersebut. Lebih daripada 100 orang awam telah mati dibedil ketika mereka sedang berlindung di pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mereka terpaksa berlindung kerana tentera rejim Zionis pada waktu itu masih lagi menjajah selatan Lebanon dan menggila membunuh, menangkap dan menyeksa penduduk di situ.

Pada 30 Julai 2006, Qana sekali lagi mendapat perhatian dunia setelah 10 tahun dilupakan. Sekali lagi rakyat awam daripada masyarakat Lebanon menjadi mangsa jenayah keganasan rejim Zionis. Perang yang telah meletus semenjak 12 Julai 2006 dijadikan alasan untuk rejim Zionis untuk menghalalkan darah rakyat awam Lebanon.

Pihak tentera Zionis (IDF) telah menuduh para pejuang Hizbullah menjadikan kampung di Qana sebagai tapak melancarkan roket untuk menyerang bandar-bandar Zionis. Sehingga kini, lebih 60 rakyat (dan hampir 40 kanak-kanak) menjadi korban keganasan mereka. Rumah-rumah hancur dan menjadi debu kerana serangan bom yang telah digugurkan oleh pesawat perang Zionis pada jam satu pagi hari tersebut. Seluruh dunia telah bangkit mengutuk dan mengecam jenayah tersebut.

Malangnya, Dan Gillerman, wakil rejim Zionis di PBB meletakkan tanggungjawab kematian rakyat di Qana di atas bahu Hizbullah. Dalam mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada hari yang sama, beliau dengan bangganya tidak mahu mengaku bersalah di atas jenayah berkenaan.

Menurut beliau dan juga lain-lain pemimpin Zionis, termasuk Ehud Olmert, Hizbullah telah menjadikan orang awam sebagai perisai manusia mereka. Demi menghalalkan tindakan tersebut, mereka sanggup mengatakan bahawa Hizbullah telah menyimpan senjata di rumah-rumah masyarakat awam. Di atas premis tersebut, mereka ingin mencuci tangan di atas apa yang berlaku di Qana dan melonggokkan kesalahan di atas bahu Hizbullah.

Menariknya, semua pemimpin rejim mempunyai nada dan rentak yang sama dalam mengeluarkan kenyataan. Suara Menteri Pertahanan Ehud Olmert, Menteri Luar, Emir Perez mahupun wakil mereka di PBB, hatta rakyat awam sekalipun mempunyai nada yang sama. Jawapan mereka amat mudah. Rejim Zionis berperang dengan Hizbullah, Hizbullah merupakan pengganas yang perlu dihapuskan.

Segala tindakan tentera Zionis menurut mereka adalah untuk merealisasikan resolusi 1559 PBB dan juga resolusi 1680. Kedua-dua resolusi tersebut dengan jelas telah memaksa Hizbullah untuk melucutkan senjata. Sesudah 600 rakyat Lebanon dikorbankan manakala ribuan yang lain tercedera dan 700,000 orang pula terpaksa meninggalkan rumah-rumah mereka, rejim Zionis tetap bertegas mereka hanya menyerang Hizbullah dan bukannya rakyat Lebanon. Bagi mereka, dunia sepatutnya menerima tindakan rejim Zionis sebagai usaha untuk mempertahankan diri.

Rejim Zionis juga seperti biasa akan mengatakan bahawa mereka tidak pernah menyasarkan orang awam. Mereka hanyalah menyerang para pengganas dan kebetulan masyarakat awam dijadikan perisai oleh para pengganas. Agak lucu, kerana perisai yang mereka dengan tidak sengaja membunuhnya itu jumlahnya sudah meningkat beribu orang, bukan hanya di Lebanon, malah di Palestin (Gaza dan Tebing Barat).

Rejim Zionis juga berusaha untuk menyalahkan Iran dan Syria yang mereka dakwa sebagai penyebab utama peperangan dan penaja keganasan. Iran dan Syria dilabel sebagai penaja keganasan kerana telah membiayai Hizbullah. Mudah sahaja sifir mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh rakyat Palestin ataupun Lebanon ialah keganasan, dan apa sahaja yang mereka lakukan adalah usaha membanteras keganasan. Resolusi 1559 dan 1680 dijadikan alasan utama mereka untuk bertindak, walhal mereka bukanlah wakil PBB untuk tujuan tersebut.

Rejim Zionis menggesa Lebanon untuk melaksanakan kedua-dua resolusi tersebut, seolah-olah mereka adalah entiti yang begitu berpegang dengan segala resolusi PBB. Bagaimana pula dengan resolusi 194 (memaksa rejim membenarkan rakyat Palestin pulang ke tanah air mereka) dan 242 (rejim wajib berundur dari Gaza dan Tebing Barat) yang tidak pernah dipatuhi oleh rejim Zionis? Bagaimana pula dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2004 yang menyuruh pihak rejim merobohkan tembok pemisah (Aparteid) mereka? Bagaimana pula dengan resolusi 425 yang memaksa mereka meninggalkan Lebanon dengan segera pada tahun 1978 dan tidak pernah mereka patuhi?

Jika mereka menuduh Hizbullah dan juga Hamas sebagai pengganas, tidakkah mereka melihat siapakah yang mencipta para pengganas ini? Tidakkah juga mereka melihat apakah yang menyebabkan mereka mengganas? Lebih parah lagi, tidakkah mereka melihat apa yang telah dilakukan oleh pihak rejim semenjak tahun 1917 lagi adalah 100 kali ganda ganas daripada apa yang dilakukan oleh Hamas dan Hizbullah? Apakah mereka sudah lupa bahawa IDF itu sendiri terbina di atas gabungan kumpulan pengganas Yahudi seperti Irgun, Stern, Haganah dan lain-lain lagi? Apakah orang yang menjajah itu adalah lebih mulia daripada mereka yang menentang penjajahan? Malangnya masyarakat dunia sering ditipu dengan propaganda Zionis di seluruh dunia.

Walau apa pun kesimpulan yang kita buat, yang pasti Rejim Zionis akan terus mengganas. Jika tidak di Lebanon, mereka akan mengganas di Gaza, jika tidak di Gaza, mereka akan mengganas di Tebing Barat, jika tidak di Tebing Barat, mereka akan menyerang Syria dan juga lain-lain tempat di rantau berkenaan. Apakah yang kita hendak harapkan kepada sebuah negara yang mempunyai lebih 200 peluru nuklear, tidak pernah mematuhi segala keputusan PBB, sentiasa disokong oleh AS dengan veto-veto di Majlis Keselamatan PBB, dibiayai setiap tahun oleh AS terutamanya di dalam bidang persenjataan dan juga tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan di atas keganasan yang mereka lakukan semenjak tertubuhnya negara haram bernama ‘Israel’ pada 15 Mei 1948 ?

Jika anda masih lagi berharap, dan masih lagi berbaik sangka untuk mendapatkan kedamaian dengan rejim Zionis, maka anda bukanlah seorang yang mempunyai akal waras!!!

-------------------------------------

* Saya tertarik dengan artikel ini. Mencuit hati saya untuk memaparkannya di sini untuk tatapan kita semua. InsyaAllah, ada rahmat Allah untuk semua penduduk Qana yang perlu berjuang dengan darah dan air mata. Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Membantu.

No comments: