29 August 2006

Pengembara 10

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Hingga bila kembara ini akan berakhir
Sedang tangan kukuh sudah longlai
Kaki sudah jadi makin kaku
Dan nafas sudah sesak-sesak
Pun kembara masih berjalan
Seiring masa
Tiada perhentian
Dengan namaNya.

Musim cuti sekolah yang lalu, pada 21 Ogos 2006, saya hanya ke negeri yang di dalamnya duduk bersemayam Sultan Azlan Shah dan permaisurinya. Itupun, separuh hari sahaja. Pusing-pusing di keliling Proton City, dan lebih kurang 7 malam, saya sudah berada di Kuala Lumpur semula. Terus solat Maghrib di dalam perjalanan dan kemudian menuju ke kelas pengajaran.

22 Ogos 2006, saya meredahi laluan kelas pengajaran saya tanpa ke pejabat. Cuti yang masih banyak, teringin untuk saya habiskan - sementelah di masa cuti sekolah seperti ini. Pada senjanya, sekali lagi azan dari Masjid Negara menyapa deria dengar saya. Suatu kesayuan yang tidak mampu saya ungkapkan setiap kali azan bersahutan. Panggilan dariNya, untuk saya mengadap Dia.

Pagi 23 Ogos 2006, saya masuk ke pejabat semula dan bercuti semula pada 24 Ogos 2006, meredah semula laluan kelas pengajaran saya untuk mencurah ilmu sebanyak mungkin. Itu jua bekal saya nanti. Jika bekal saya tidak cukup, apa yang hendak saya gunakan di sana nanti agaknya?! Pun, pada 25 Ogos 2006, saya masuk ke pejabat semula. Hmmh!

Pagi 26 Ogos 2006, saya meredah laluan biasa saya, dan di celahan itu, saya teringat pada hari konvokesyen adik saya yang sepatutnya, hari ini! Apabila saya menghubungi abang saya, saya dimaklumkan yang mereka telah bertolak ke UIA. Lalu, kelas di sebelah petang saya batalkan (anak murid-anak murid minta saya datang juga pada esok hari). Usai kelas yang ketiga, saya terus mengambil seorang lagi adik di UIA (yang masih di awal tahun pengajian) dan terus bertemu dengan keluarga saya di sebuah taman di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Usai makan-makan dan sembang-sembang, kami sekeluarga terus bergerak ke Masjid Negara untuk solat Asar.

Di sini ruang kemuskilan di minda saya timbul. Terus terang saya katakan, hampir empat tahun saya berkhidmat di Kuala Lumpur, saya tidak pernah sekalipun bersolat di Masjid Negara! Sementelah saya tidak perlu bersolat Juma'at tentunya, dan masa yang sangat singkat dan terbatas selalunya menyebabkan Rukun ke-2 itu saya sering lunaskan di surau pejabat atau di kelas-kelas pengajaran saya, ataupun di masjid-masjid lain yang berada di laluan perjalanan saya.

Maafkan saya, tapi ruang kemusykilan itu timbul apabila melihat ruang solat wanita yang tidak ada tirai! (saya tidak tahu ada berapa ruang solat wanita di masjid ini, tapi yang ini di tingkat atas agaknya, kerana perlu mendaki tangga berulangkali) Mungkin di bahagian hadapan, memang ada bidai pemisah antara ruang solat lelaki dan wanita. Namun, cermin di bahagian belakang (laluan di luar cermin pula menjadi tempat laluan umum) langsung tidak ditutup. Saya pandang kakak dan saya lihat emak. Kakak, personalitinya membuatkan saya nampak dia tidak selesa dengan keadaan itu. Malah, sama jua dengan saya.

Beberapa orang wanita yang sudah siap bersolat di sisi saya elok saja memperagakan rambut sambil menepek wajah dengan bedak muka, dan kemudiannya barulah memakai tudung. Beberapa orang lelaki di laluan luar pula masih duduk-duduk dan memandang di sekitar, dan tentu saja nampak apa saja aktiviti di ruang solat perempuan kerana ruang itu langsung tidak bertutup. Nampak seperti tiada apa-apa agaknya pada mereka, dan saya dan kakak yang rasa serba salah dan tidak selesa, tanpa menanggalkan tudung terus saja menyarung kain telekung untuk bersolat. Usai solat, saya bincangkan dengan kakak tentang perkara tersebut. Dia hanya menjawab, "seeloknya diletakkan tirai di cermin tersebut" - dan saya pegang gelaran ustazah yang kakak sandang sebagai mempersetujui perkara tersebut. Walaupun langsung tidak menanggalkan tudung, pastinya saya dan kakak amat tidak selesa memikirkan yang orang-orang lelaki di luar sana melihat bukan saja 'aksi' kami bersolat, malah aksi sebilangan yang lain yang 'mungkin' tidak sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa orang lain boleh memandang mereka di luar sana.

Remeh temeh saja nampaknya, tapi ia amat meninggalkan bekas di dalam diri saya. Terutama, masjid itu merupakan lambang penganut Islam rakyat Malaysia. Inilah jadinya Islam di Malaysia pada masa ini agaknya, tidak kukuh dan tidak utuh, iman sudah berkeruping di tepi telinga menunggu masa hendak dikupil keluar saja. Kebiasaan yang dilakukan oleh ramai orang itu sudah menjadi biasa, hinggakan kalau tidak mengikut aturan dan prosedur Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW pun, jika sudah jadi kebiasaan pada majoriti, pemikiran yang minoriti ini terbiar dan terabai, walaupun benar.

Itulah, kualiti atau sekadar kuantiti, sudah memadai?

Ya Allah, Kau yang Maha Kuasa, Maha Membantu, bantulah kami mengukuhkan iman-iman kami yang asyik goyah ini. Ya Allah, bantulah kami menegakkan Islam dengan namaMu.
Amin.

2 comments:

Aqil Fithri said...

salaam~
ziarah balas --> terima kaseh kerana muatkan jaringan blog saya. gerun lihat nama jaringan tersebut! :-)

rashinina said...

Salam,

Actually, saya amat sukakan Fizik, hinggakan masa percubaan SPM saya dapat Fizik P7 dan dapat Biologi A2, saya menangis dan apabila SPM sebenar, keputusan tu berubah, Biologi pula P7 - saya sengaja tak jawab beberapa soalan yang saya tahu jawapannya.

Mungkin kerana Fizik itu kehidupan saya, keindahan ilmu Allah yang ingin saya teroka.

Pun, kerja saya tiada kaitan dengan Fizik. Tapi masih membaca, dan cuba mendalami Fizik.

Terima kasih kerana mengunjungi blog saya.