04 September 2009

Malam Jumaat

Mata saya layu dan hendak tertutup. Penat benar agaknya.

"Papa tinggal dengan siapa?", tanya saya. Tiba-tiba timbul 'cerita masyarakat' yang hakikatnya jarang saya tanyakan pada pelajar saya. Sekadar untuk menghilangkan mengantuk saya sahaja.

Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Air mukanya lain benar dari biasa. Sejak saya bertemunya setahun lepas dan menjadi agak rapat. Dan sejak saya mengenalinya sekadar basa-basi tujuh tahun lepas.

"Kejap ya cikgu....", dan kemudian dia terus berlari ke tingkat atas.

Apabila dia sudah turun ke bawah semula, dia tidak segera duduk di hadapan saya. Dia duduk di belakang saya sambil tangannya menyelak-nyelak halaman sebuah buku. Sungguh, saat itu saya tidak tahu apa yang dicarinya. Lama kemudian, baru dia duduk di hadapan saya.

"Dengan ini...", tangannya menunjuk ke arah perkataan di dalam buku yang dipenuhi pelbagai simpulan bahasa.

Ibu tiri.

Saya kaget. Mata saya terus jadi segar. Nampak air muka pelajar saya yang serba salah. Saya jadi kasihan. Saat itu, saya rasa saya mahu memeluk anak gadis kecil umur 10 tahun itu. Sedikit pun dia tidak menyebut perkataan itu. Nampak kan, sanggup dia mencari buku simpulan bahasa semata-mata dia tidak mahu menyebut perkataan itu di hadapan saya. Apa agaknya yang ada di dalam hatinya apabila papanya berkahwin lain dan mengabaikan dia?

Bukan...bukan kisah masyarakat ini yang hendak saya ketengahkan. Tapi, kisah-kisah serupa ini yang berlaku di hadapan mata saya sendiri, melihat kawan-kawan saya yang mengalami pelbagai masalah rumah tangga menyebabkan saya menjadi semakin phobia dengan lelaki. Bukan untuk diri saya rasa phobia itu pastinya, tapi untuk anak-anak. Kasihan. Mereka masih sangat kecil untuk mengerti kemelut hidup yang sangat memeritkan. Kasih sayang mama dan papa yang berantakan, apakah yang mereka faham jika pada usia 5 tahun mereka sudah merasa kehilangan kasih seorang papa? Ya...walau sudah hampir 5 tahun berlalu kisah itu, yang saya pasti perhatian mama kepadanya tentu berlainan dan tidak cuba menyelami hatinya, lalu saya cuba menghurai rasa hatinya supaya apa yang dipendamnya tidak menjadi nanah dalam dirinya.

Ya...sangat kasihan.

Wahai sahabat...wahai semua....ternyata benar Allah tidak suka pada penceraian. Syai-thon pula sukakan perbalahan, pergaduhan dan perpecahan.

Jika ada persefahaman, sebenarnya tidak akan berlaku perselisihan, kerana semua perbezaan pendapat boleh diselesaikan dengan tenang dalam sebuah perbincangan yang penuh kelembutan.

No comments: