07 March 2009

BIcara Sunyi Sepi Sayu Seorang Diri

Normalnya, bila sedih datang bertamu, saya akan segera menghubungi emak di kampung. Sejak 11 Februari - sebetulnya sejak 16 Februari apabila saya sudah balik semula ke Kuala Lumpur, paling kurang pun saya menghubungi emak dalam sehari sebanyak dua kali. Walau saya tidak menangis semasa bercakap dengan emak - sebetulnya saya tidak pernah menangis di hadapan sesiapa pun.

Sudah terbiasa bercakap dan berbual dengan emak - awal pagi apabila tiba di pejabat, tengahari apabila usai mesyuarat yang menyebalkan, malam apabila usai mengajar dan hendak bertolak balik ke rumah - atau awal sedikit, selepas solat Maghrib - jarang saya menghubungi emak selepas solat Maghrib kerana munajatnya lebih lama - ya, selepas 11 Februari 2009 itulah rutin saya, dan saya akur pada rutin emak yang kini lebih lama di tikar sembahyang.

Hari ini saya masih belum menghubungi emak. Mungkin kerana keluarga abang saya ada di kampung bersama adik perempuan dan tiga orang yang lelaki. Ramai. Saya tidak mahu mengganggu konsentrasi emak (atau sejujurnya saya agak cemburu - tugasan saya tidak kira hari - 24/7 - menyebabkan masa saya untuk menjenguk emak agak terbatas - walau hati saya meronta - walau bicara emak dan saya saban hari) dan ditambah dengan diri saya yang masih belum kuat - rumah di kampung itu ada kenangan yang sangat banyak antara saya dan Allahyarham abah.

Lalu, saat ini saya sedang merindukan bicara saya dan emak, yang sering jua, pada masa yang sama, saya sedang merindukan Allahyarham abah saya. Benar-benar saya rindu! Semoga rohnya ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman, insyaAllah.


Ayam ini, ayam yang dibela oleh emak dan Allahyarham abah saya. Suasana rumah saya di kampung yang sering saya rindukan. Kuatkah saya untuk balik, sedangkan dalam tempoh yang lalu, saya sering termenung dan tidak ada selera untuk makan pun.


Ini lukah hasil tangan Allahyarham abah saya. Dulu, berhampiran lukah ini merupakan tempat Allahyarham abah saya selalu berdiri setiap kali saya mula mengundurkan kereta untuk bertolak balik ke Kuala Lumpur. Senyumannya, bagaimanatah mampu dilupakan? Sungguh saya benar-benar rindu!

Luahan ini hanyalah luahan kerinduan seorang anak kepada Allahyarham abah yang sudah meninggalkan dunia ini. Selalunya saya melepaskan rasa rindu ini dengan berbual-bual bersama emak. Ya Allah, bantulah saya untuk menjadi kuat semula, InsyaAllah.

No comments: