26 March 2009

Cari Apa DI Dunia Ini?

Saya selalu terfikir tentang hal ini, apakah yang kita cari di dunia ini?

Apa sebenarnya?

Ada yang berhempas-pulas bekerja sehinggakan terlupa kepada kehidupan berkeluarga - ibu, ayah, isteri, suami dan anak-anak. Malah saudara-mara juga sering kita lupakan dengan alasan sibuk bekerja. Ya, saya akui saya juga termasuk dalam kategori ini, walau sejak akhir-akhir ini saya merasakan suasana dan kesibukan bekerja itu sewajarnya diisi dengan sering menjenguk ibu di kampung. Saya mahu menghargai setiap saat bersama ibu di dalam kesibukan saya ini kerana saat-saat yang tertinggal tidak akan datang kembali.

Ada yang menipu untuk meneruskan kehidupan - mencipta pelbagai alasan dan memalsukan fakta serta membuat pelbagai fitnah kerana pada fikiran mereka membuat keburukan kepada orang lain dengan cara menyembunyikan keburukan diri sendiri adalah amat baik dan boleh memajukan diri mereka ke peringkat lebih tinggi, tapi hakikatnya untuk apa?

Ada yang mengambil hak orang lain tanpa izin dengan kata lain mencuri, merompak, menyamun dan meragut - cara mudah ini sering dilakukan oleh pelbagai orang yang terdesak dalam mencari duit dan tidak boleh berfikir dengan waras lagi. Pada insan jenis ini, mereka lebih gemar mengambil jalan mudah dengan melakukan hal ini, malah sehingga ke tahap membunuh pun. Tapi, apakah duit yang digunakan ini mendapat berkat dari Allah yang Maha Besar? Setelah duit itu habis, apakah perlu merompak lagi?

Banyak juga yang menjadi gunting di dalam lipatan. Menjadi orang yang bermuka-muka - bukan lagi talam dua muka, malah jumlah mukanya lebih dari dua muka -dan menyatakan hal yang muluk-muluk untuk didengar saja, terutama jika menemui orang berpangkat yang pada mereka mampu mengubah nasib mereka ke arah yang lebih baik. Ya, jenis ini lebih menakutkan kerana mereka berselindung di balik kelakuan mereka dan kata-kata yang sangaaaaaaat maaaaanis. (Saya rasa kategori ini sangat banyak di penghujung zaman ini...)

Tapi, apa yang dicari dengan melakukan pelbagai hal yang buruk? Apakah yang dicari?

Presiden Ahmadinejad

Nama, pangkat, harta dan kemewahan? Oh....sungguh menyebalkan sekiranya masing-masing beranggapan mereka semua akan menongkat dunia dan hidup selama-lamanya di dunia ini. Sekiranya untuk anak-anak pun, adakah perlu menyogokkan di dalam darah daging anak-anak kita dengan benda-benda yang haram? Maka susur galur keturunan yang memakan isi daging haram ini pun menjadi generasi demi generasi yang hidup di dalam keadaan yang tidak diredhai Allah.

Untuk kemewahan hidup pun, adakah perlu terlalu bermewah-mewah sehingga sanggup menindas dan mengambil hak orang lain dengan cara yang tidak diredhai Allah? Itu jua menjadi rezeki yang tidak berkat. Malah, jika selalu membuat keburukan, masa bila hendak membuat kebaikan? Tahu-tahu sahaja nanti, mati pula menjemput kita. Hendak kembali kepada Allah dalam keadaan burukkah? Kembali dalam keadaan buruk - maka selama-lamanyalah akan buruk di akhirat nanti. Mahukah begitu?

Bukankah lebih elok mencari rezeki yang diredhai Allah dan kehidupan pun menjadi lebih diredhaiNya. Barulah ketenangan dalam kehidupan akan muncul. (Ketenangan inikah yang dicari?)

Sungguh, saya sering memikirkan ini. Apakah yang dicari sebenarnya oleh kebanyakan orang di dunia ini sehinggakan yang kaya kini menjadi semakin kaya dan yang miskin menjadi semakin miskin melarat.

Apakah yang dicari? Tolong khabarkan kepada saya, apakah yang kamu semua cari di dunia ini?

Saya tidak tahu apa yang kamu semua cari kerana saya hanya mencari satu saja di dunia ini - mencari keredhaan Allah supaya saya akan dimatikan dalam keadaan beriman kepadaNya dan menikmati kehidupan rehat dan tenang di sana nanti.

Biarlah di dunia ini hidup di dalam keadaan sederhana kerana di dunia ini hanya sementara sahaja. Akhiratlah yang lebih kekal dan abadi. Inilah prinsip saya.

Tolong khabarkan kepada saya, apa yang kamu semua cari di dunia ini?

No comments: