30 March 2009

TTD Versi Radio IKIMfm

Saya hanya ada satu kelas mengajar hari ini di Puncak Jalil selepas habis bekerja. Kelas yang dimulakan pada pukul 6.30 petang (berhenti pada pukul 7.30 malam untuk solat Maghrib) dan tamat pada pukul 8.45 malam. Kelas 2 jam, mengajar 2 orang pelajar.

Usai mengajar, mata saya sudah sangat mengantuk. Namun, saya tahu, saya perlu memandu. Maka, dalam hujan renyai-renyai saya mula memandu dari Puncak Jalil melalui laluan menuju ke Putrajaya di dalam keadaan mata yang kurang cerah.

Pun, apabila saya mula memandu, selalunya saya memang akan membuka radio. Ayat demi ayat yang didengar melalui radio IKIMfm sekitar 9.30 malam rupa-rupanya membuatkan mata saya menjadi sedikit cerah. Kisah Sazli di tengah ladang betik, dan tanpa disangka-sangka, inilah kali pertama saya mendengar suara pengarang yang hasil tulisannya sudah saya baca sejak tahun 1997 lagi sewaktu saya masih berada di universiti.



Ya, kisah Tunggu Teduh Dulu di dalam Duniaku Buku - salah satu rancangan popular di Radio IKIMfm. Buku yang saya sudah ulang baca sebanyak 5 kali (saya sudah membeli buku ini semasa kulit buku yang pertama lagi) - setiap kali saya membacanya, rasanya masih sama seperti baru kali pertama membaca. Dalam rasa kantuk dan kesejukan yang amat beserta hujan renyai-renyai yang turun membasahi bumi, saya jadi sedikit bertenaga untuk meneruskan pemanduan sehinggalah apabila rancangan tersebut ditamatkan, kereta saya sudah diparkir di tempat meletak kereta di rumah saya. Tahniah kepada penulis buku ini.

No comments: