28 March 2009

Kempen Tak Jadi

Sungguh tidak ada kegelapan.

Dari tingkap rumah yang saya mengajar (saya mengajar dari pukul 8.30 - 10.30 malam di Shah Alam tadi - walau saya sudah menghubungi ibu pelajar saya awal-awal lagi dan memaklumkan tentang 'kempen gelap' malam ini), saya nampak keseluruhan lokasi berada di dalam keadaan cerah. Kalau saya tidak mengajar, sudah tentu saya akan menggalakkan semua pelajar saya mematikan semua lampu. Adakah rumah lain di sekitar kawasan itu juga berada di dalam sesi pembelajaran agaknya?

Tapi...itulah. Kita masih tidak berada di tahap prihatin yang tinggi. Kita masih leka. Beranggapan sikap 'tak apalah' tidak membawa kerugian apa-apa. Tidak cuba prihatin dengan alam kerana kita merasakan rumah kita sudah cukup selamat. Alam semulajadi sudah dilupakan dan fungsinya kepada manusia sudah tidak dijadikan kajian penting. Sudahnya, kempen tidak menjadi kempen. Hanya kerana tidak ada sesiapa pun yang memastikan semua orang akan mematikan lampu. Paling pasti, di saat pukul 8.30 - 9.30 malam tadi, rumah saya sendiri tentunya tidak dipasang sebarang lampu.

*********

Saya bergerak balik ke rumah pada pukul 10.45 malam. Jalan agak sesak - malam minggu pastinya. Selalunya saya memang tidak keluar dari rumah kecuali untuk mengajar. Sudah lama tidak berada di atas jalan raya pada malam minggu. Malam ini saya menjadi pemerhati kepada suasana malam minggu.

Sebelum tiba di LDP, saya nampak beberapa buah motor 'kapcai' yang ditunggang oleh dua orang setiap motor - seorang lelaki dan seorang wanita berpakaian sendat - sangat banyak di atas jalan raya dan dibawa dengan kelajuan yang agak perlahan. Ya, bukanlah saya hendak menegur, tapi trend yang sudah menjadi kebiasaan ini tidak pernah dibendung oleh sesiapa pun. Anak siapalah agaknya yang diusung ke hulu dan ke hilir oleh lelaki-lelaki yang belum tentu lagi akan menjadi suami kepada gadis-gadis tersebut? Bukankah lebih banyak aktiviti berfaedah lain berbanding ke hulu dan ke hilir bersama lelaki bukan muhrim yang menjamin bahagia yang hanya seketika sebelum ditinggalkan pergi tanpa pesan.

Aduhai...berpeleseran dengan perempuan yang sudi menemani memang sudah jadi trend orang yang tidak berfikir tentang redha Allah. Namun, apabila hendak berkahwin nanti, kebanyakan lelaki-lelaki sebegini tetap akan mencari wanita baik-baik untuk dijadikan isteri. Itulah yang dimaksudkan dengan bahagia yang hanya seketika sebelum ditinggalkan pergi tanpa pesan.

Sedarlah wahai anak-anak gadis...khususnya di Malaysia ini.

No comments: